Wednesday, July 7, 2010

Pelayaran pertama

Kapal Titanic memulakan pelayaran pertamanya dari Southampton, England, untuk perjalanan ke Bandar New York, New York, pada Rabu, 10 April 1912, di bawah kendalian Kaptain Edward J. Smith. Ketika Titanic bergerak meninggalkan pelabuhan, kuasa sedutan yang dihasilkan oleh kapal tersebut menyebabkan kapal penumpang New York, yang berlabuh berhampiran, putus tambatan dan ditarik begitu hampir (sekitar 4 kaki) dengan Titanic sebelum kapal tunda menunda New York dapat mengelak. Kejadian tersebut melewatkan Titanic berlepas satu jam dari jadual sebenar. Selepas menyeberangi Selat Inggeris, Titanic berhenti di Cherbourg, France, untuk menurunkan dan mengambil penumpang tambahan dan berhenti sekali lagi di Queenstown (sekarang ini dikenali sebagai Cobh), Ireland, sebelum meneruskan pelayaran ke New York dengan 2,223 penumpang.[1]
Titanic mempunyai tiga bahagian kelas penumpang yang diasingkan. Kelas ketiga yang juga dikenali sebagai steerage, terdiri daripada kabin kecil di dek bawah, diduduki kebanyakannya oleh pendatang yang mengharapkan kehidupan lebih baik di Amerika. Kabin dan bilik umum kelas kedua yang terletak di buritan kapal adalah sama dengan kemudahan kelas pertama di kapal-kapal yang lain. Kebanyakan penumpang kelas kedua pada asalnya menempah kelas pertama di kapal yang lain tetapi disebabkan mogok arang batu, mereka dipindahkan ke Titanic. Kelas pertama merupakan bahagian paling mewah di atas kapal.
Sebahagian daripada orang yang terkenal turut belayar sebagai penumpang kelas pertama. Ini termasuk jutawan John Jacob Astor dan isterinya Madeleine Force Astor; pemilik kilang Benjamin Guggenheim; pemilik Macy, Isador Straus dan isterinya Ida; jutawan Denver, Margaret "Molly" Brown; Sir Cosmo Duff-Gordon dan isterinya, pereka fesyen, Lady Lucille Duff-Gordon; George Elkins Widener dan isterinya, Eleanor; John Borland Thayer, isterinya Marian dan anak mereka yang berusia tujuh belas tahun, Jack; wartawan William Thomas Stead; Countess of Rothes; pembantu presiden U.S. Archibald Butt; pengarang dan sosialit, Helen Churchill Candee; pengarang Jacques Futrelle, dan isterinya May, dan rakan mereka, pengarah Broadway Henry dan Irene Harris; pelakon wanita filem bisu Dorothy Gibson; dan yang lain. Turut bersama di kelas pertama adalah pengarah urusan White Star Line J. Bruce Ismay yang mencadangkan Titanic dan pembina kapal Thomas Andrews, yang turut bersama bagi memantau sebarang masalah dan menilai prestasi keseluruhan kapal baru tersebut.

No comments:

Post a Comment